Friday, July 26, 2013

Jodoh

Assalamualaikum.

Selamat membaca dan teruskan membaca.Kali ini saya ingin bercerita tentang jodoh.
Berikut adalah kata-kata dari para penceramah dan orang-orang yang berpengalaman(berilmu)

"Apabila telah sampai jodoh seseorang, maka hendaklah menyegerakan pernikahannya."

"Jodoh Allah s.w.t yang tentukan"

"Jodoh kita telah tertulis sejak kita dalam perut ibu lagi"


Kisah I

 Aku mempunyai calon bakal isteri tiga tahun lalu. Hubungan kami dipertahan bertahun-tahun, berkasih bagai nak rak sehingga merancang nak kahwin pada usia 20 tahun. Namun perhubungan kami terhenti di pertengahan jalan. Walau bagaimanapun, dia tetap menanti pinangan aku sebelum dia bekerja sebagai guru KAFA di Damansara. Disebabkan aku yang masih menuntut di universiti, dia pula sedang bekerja menyebabkan kami jarang berhubung.

 Dengan hatinya yang terbuka, dia pernah memberitahu dia menerima sesiapa sahaja yang masuk meminang, asalkan baik dan direstui ibu dan ayahnya. Ditambah dengan beberapa perkara yang membuatkan dia tidak mahu menunggu, tanpa aku ketahui, dia rupa-rupanya sudah ingin melangsungkan perkahwinannya dengan bakal suaminya yang tak pernah dimaklumkan kepada aku selama aku menanti untuk meminangnya. Alhamdulillah, yang terbaik untuk dia walaupun dia merahsiakan segala-galanya tentang perkahwinannya kepada aku.

 Hampir genap setahun perkahwinan mereka. Aku redha dengan takdir, tiada jodoh antara kami dan aku sudah tidak perlu menunggu dia lagi. Bukan rezeki aku untuk memiliki isteri yang pandai mengaji Al-Quran. Tambahan pula, aku tak mampu meminang awal dan menyara dia kerana masih belajar. Dengan latar belakang pemuzik dan pencinta muzik Metal, tidak mampu menguatkan hati untuk berhadapan dengan bapanya yang merupakan individu yang aktif dalam jemaah tabligh. 



Kisah II

 Aku mempunyai bekas awek yang sama kelas sewaktu Tingkatan Enam. Rakan-rakan sekelas kami yang akrab, seorang lelaki dan perempuan yang juga turut berpasangan. Dua pasangan dari Tingkatan Enam yang diketahui para guru Tingkatan Enam menjadi bualan dan topik mengusik oleh para guru sewaktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). 

 Kadangkala kami bertemu janji secara berpasangan, tambahan pula lelaki tersebut adalah rakan baik aku dalam kelas manakala aweknya merupakan rakan baik awek aku. Keintiman terserlah antara kami, namun semakin lama, hubungan menjadi semakin retak kerana perasaan seakan beransur hilang kasihnya. Aku membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan awek aku kerana tidak mahu melihat dia terpaksa menerima kata-kata dan perlakuan kasarku lagi.

 Selang beberapa minggu, rakan baik aku pula memutuskan hubungannya dengan aweknya. Maka berakhirlah hubungan pasangan-pasangan yang intim dalam Tingkatan Enam. Sangkaan aku nampaknya terlalu awal kerana bekas awek aku sebenarnya semakin rapat dengan  bekas pakwe rakan baiknya yang juga merupakan rakan baik aku. Mereka sememangnya rapat dalam kelas sejak dahulu, sebagaimana keakraban semua rakan sekelas.

 Mereka berdua mula menjalinkan perhubungan sebagai teman rapat dan lama-kelamaan bertambah serius sehingga ke tahap hari ini. Aku sememangnya ingin melihat mereka bahagia dan khabarnya mungkin mereka akan menamatkan hubungan mereka dengan pernikahan. Allah s.wt sudah takdirkan kita saling mengenali adalah untuk dipertemukan dengan pasangan yang sebenar.

Allah s.w.t telahpun mengaturkan perjalanan hidup kita.

No comments: